Selasa, 8 Julai 2025
UTAMAPENDIDIKANLebih 4 tan barangan dikitar semula, Program Litter Free cipta impak hijau

Lebih 4 tan barangan dikitar semula, Program Litter Free cipta impak hijau

- Advertisement -

IPOH – Lebih 4 tan barangan kitar semula berjaya dikumpulkan sepanjang program Litter Free @ PUO yang berlangsung selama tiga hari bermula 7 hingga 9 April di Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh.

Program anjuran Fakulti Perniagaan dan Perakaunan itu mencatat kejayaan membanggakan apabila menerima sambutan menggalakkan daripada warga institusi serta komuniti setempat.

Program tersebut menampilkan pendekatan unik dengan mengetengahkan konsep “tukar barangan kepada tunai”, yang secara langsung menggalakkan penyertaan aktif masyarakat dalam usaha memelihara alam sekitar. 

Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PUO, Amirrudin Samsudin, turut menyatakan penghargaan terhadap penglibatan semua pihak dalam menjayakan inisiatif tersebut.

“Kejayaan program ini sebagai langkah awal yang positif ke arah merealisasikan hasrat institusi untuk menjadi kampus hijau,” katanya kepada MYBERITA.

“Antara pihak luar yang turut menjayakan program ini ialah SWCorp Kedah yang menganjurkan sesi “Wacana Ilmu: Misi Bumi Lestari” dengan pelbagai aktiviti interaktif yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan pengurusan sisa dan kelestarian alam sekitar.”

Pelbagai barangan kitar semula telah dikumpul termasuk pakaian terpakai, minyak masak terpakai, kertas, plastik dan sisa elektronik (e-waste). Kesemua aktiviti utama dijalankan di Dataran Premier PUO.

“Sepanjang tempoh program, sebanyak 3.4 tan pakaian terpakai berjaya dikumpulkan, diikuti 219.3 kilogram minyak masak terpakai pada hari pertama dan 133.5 kilogram pada hari kedua.”

“Sementara itu, sisa elektronik atau e-waste mencatat kutipan sebanyak 128.92 kilogram. Bagi kategori kertas dan plastik, kutipan masing-masing adalah 93.99 kilogram pada hari pertama dan 97.8 kilogram pada hari kedua. Keseluruhan jumlah kutipan barangan kitar semula ialah 4,073.51 kilogram.”

Program ini bukan sahaja berjaya mengurangkan sisa yang berakhir di tapak pelupusan, malah turut memberi kesedaran sivik serta memupuk tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar dan masyarakat setempat terhadap amalan pengurusan sisa yang mampan.

Inisiatif ini turut menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) antaranya SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan), SDG 13 (Tindakan Iklim), SDG 14 (Hidupan di Bawah Air), SDG 15 (Hidupan di Darat), SDG 16 (Institusi yang Kukuh), dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat).

Penganjuran Litter Free @ PUO disifatkan sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh budaya hijau di institusi pendidikan tinggi, sekali gus mencerminkan komitmen PUO dalam melahirkan warga yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN