BUTTERWORTH – Seorang pekerja aksesori kereta yang menjadi buruan polis sejak 12 tahun lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pengawal kelab malam (bouncer) pada tahun 2013.
Tertuduh, Ooi Chin Leng, 38, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Ooi bersama seorang lagi suspek yang masih bebas didakwa membunuh Fouzi Hussen, 24, di Taman Desa Murni, Sungai Dua, kira-kira jam 5.25 pagi pada 24 Januari 2013.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan, jika tidak dihukum mati, turut dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan jika disabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin, tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dan memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu untuk mendapatkan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh, memandangkan kes berkenaan adalah kes lama dan tertuduh baru ditahan polis.
Mahkamah menetapkan 23 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan mendapatkan profiling DNA tertuduh dan tidak membenarkan sebarang jaminan.
Menurut laporan media sebelum ini, mangsa ditemukan maut dengan kesan tembakan di rusuk kiri dalam kejadian pergaduhan di sebuah premis di Taman Desa Murni.
Ketika itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, memaklumkan pergaduhan dipercayai berpunca daripada perselisihan mengenai urusan perniagaan yang gagal mencapai persetujuan.