IPOH — Seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun ditahan polis hari ini selepas disyaki mencuri pakaian dalam wanita yang disidai berhampiran pagar sebuah rumah di kawasan Menglembu di sini.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek ditahan kira-kira jam 11 pagi susulan laporan yang dibuat oleh seorang wanita berusia 45 tahun yang juga pemilik sistem kamera litar tertutup (CCTV) di kediamannya.
“Rakaman CCTV menunjukkan suspek menunggang motosikal dan berhenti di hadapan rumah pengadu sebelum mengambil beberapa helai pakaian dalam yang disidai di kawasan ampaian berhampiran pagar rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Terdahulu, rakaman video memaparkan tindakan lelaki berkenaan mencuri pakaian dalam tular di media sosial, khususnya laman Facebook, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi netizen.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.