PONTIAN – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas empat pertuduhan berkaitan pengedaran dan pemilikan dadah, termasuk jenis 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), bulan lalu.
Tertuduh, Lau Keat Lim, 35, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arina Azmin Ahmad Marzuki, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan utama, Lau didakwa mengedar 6.4 kilogram dadah jenis MDMA di sebuah rumah di Taman Mutiara, sekitar pukul 6.10 petang, 21 Mei lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga berdepan tiga lagi pertuduhan kerana memiliki 20.04 gram methamphetamine, 5.66 gram ketamin, dan 1.06 gram methamphetamine, yang didakwa mengikut Seksyen 12(2) akta sama.
Kes akan disebut semula di Mahkamah Tinggi untuk tindakan lanjut.