Labuan- Seorang lelaki berusia 53 tahun maut dalam kebakaran di Kampung Lubok Temiang, Simpang Mat Isa, awal pagi ini.
Mangsa, Usman Tuah, yang dipercayai tinggal bersendirian, ditemui tidak sedarkan diri di luar rumahnya yang musnah dalam kebakaran.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Abdul Rahman Ali, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.20 pagi sebelum mengerahkan 21 anggota bersama dua jentera ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pihak bomba mendapati rumah itu telah musnah sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi pihak media.
Beliau menambah bahawa punca kebakaran masih dalam siasatan, dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk melaporkannya di balai polis berhampiran.