Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAJENAYAHLelaki OKU mengaku bersalah cabul gadis berjogging

Lelaki OKU mengaku bersalah cabul gadis berjogging

- Advertisement -

MELAKA – Seorang pekerja kilang yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) pembelajaran dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan seorang gadis ketika berjoging di Taman Bandaraya Bukit Serindit.

Tertuduh, Muhammad Ridzuan Yusof, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dan diterangkan oleh jurubahasa mahkamah.

Majistret Sharda Sheinha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman tersebut setelah mengambil kira pengakuan, rayuan tertuduh, serta hujahan pemberatan hukuman daripada pihak pendakwaan.

Hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 11 April lalu.

Ketika prosiding, mahkamah turut memastikan tertuduh benar-benar memahami pertuduhan kerana hanya mengangguk sebelum menjawab ‘ya, faham’.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memeluk, menyentuh kemaluan, serta menekup mulut mangsa dari belakang dengan niat mencabul kehormatan mangsa berusia 20 tahun 10 bulan, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam di taman rekreasi berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau sebatan, atau mana-mana kombinasi.

Fakta kes menyatakan, mangsa yang bekerja sebagai pembantu klinik gigi sedang berjoging bersama rakan sebelum ditinggalkan sendirian berhampiran Stadium Hoki.

Tertuduh kemudian menghampiri dan melakukan serangan seperti dalam pertuduhan.

Suspek melarikan diri selepas mangsa menjerit meminta tolong, namun berjaya diberkas polis susulan laporan mangsa.

Peguam tertuduh, Muhammad Izzuddin Ab Malek, merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan atas faktor pendapatan rendah dan status OKU.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar memohon hukuman berat atas alasan kesalahan berlaku di tempat awam dan waktu malam.

Faktor OKU pembelajaran tidak boleh dijadikan alasan peringanan kerana ia bukan melibatkan gangguan mental.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN