Selasa, 8 Julai 2025
UTAMAJENAYAHLelaki putus jari diserang lima lelaki bersenjata

Lelaki putus jari diserang lima lelaki bersenjata

- Advertisement -

SUBANG JAYA – Seorang lelaki berusia 30 tahun putus lima jari tangan kirinya selepas diserang lima lelaki bersenjatakan parang dan pedang dalam kejadian ngeri di hadapan sebuah restoran di Jalan PJS 1½, Bandar Sunway, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.54 pagi sebelum anggota peronda dihantar ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa bersama beberapa rakan sedang bersiap untuk pulang selepas makan di restoran terbabit sebelum sebuah kereta Toyota Vios putih yang dinaiki lima suspek tiba dan menyerang mangsa.

“Kesemua suspek yang dipercayai warga tempatan menyerang mangsa dengan parang dan pedang sebelum melarikan diri menggunakan kenderaan sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mangsa turut mengalami kecederaan di tangan, kaki dan badan serta telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata tajam yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, serta boleh dikenakan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7222 atau Insp Fadizah Ajamain di 019-858 2166.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN