KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mengalami kerugian kira-kira RM11,000 apabila rantai lehernya diragut oleh seorang suspek yang berpura-pura terlibat dalam kemalangan kecil di hadapan sebuah kedai serbaneka di Setia Alam, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada mangsa pada jam 2.08 petang semalam.
“Hasil siasatan awal mendapati, ketika mangsa bersama isterinya baru sahaja selesai membeli barang di premis berkenaan, mereka dihampiri seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC berwarna merah.
“Suspek memberitahu bahawa dia telah melanggar bahagian hadapan kereta milik mangsa.
“Mangsa kemudian turun dari kenderaan untuk memeriksa kerosakan yang dimaksudkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, semasa mangsa sedang memeriksa keadaan, suspek secara tiba-tiba bertindak meragut rantai leher milik mangsa dari arah belakang sebelum melarikan diri.
Menurut Mohd Iqbal, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan,” jelasnya.
Pihak polis kini giat mengesan suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Naqiuddin Nawawi di talian 012-3848103 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di talian 03-5520 2222.