KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 45 tahun mengalami sesak nafas dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan enam buah rumah teres di Bandar Tun Razak, malam semalam.
Mangsa telah dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz oleh Unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi untuk rawatan lanjut. Beliau dilaporkan dalam keadaan stabil dan ditempatkan di zon kuning.
Menurut Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mustafa Kamal Mohd Arih, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 10.49 malam.
“Seramai 43 anggota dan pegawai bersama beberapa jentera dari BBP Bandar Tun Razak, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Sungai Besi, BBP Cheras, BBP Sri Hartamas dan BBP Taman Tun Dr Ismail telah dikerah ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pasukan bomba tiba di lokasi lima minit kemudian dan mendapati enam rumah sedang terbakar dengan anggaran kemusnahan antara 50 hingga 70 peratus.
Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 12.06 tengah malam.
Punca kebakaran kini sedang disiasat oleh Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.