KUALA LUMPUR – Pemain naturalisasi Harimau Malaya, Paulo Josue menyeru para penyokong bola sepak tempatan untuk membanjiri Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bagi memberikan sokongan padu kepada skuad kebangsaan yang akan berdepan Cape Verde dalam aksi persahabatan antarabangsa pada Khamis ini.
Josue, yang juga kapten Kuala Lumpur City FC, menegaskan bahawa kehadiran penyokong amat penting untuk membakar semangat para pemain kendalian Peter Cklamovski, terutama ketika berdepan lawan yang berada di ranking ke-72 dunia dan bakal beraksi di pentas Piala Dunia.
“Walaupun ramai yang tertumpu kepada perlawanan antara Manchester United dan ASEAN All-Stars sehari sebelumnya, saya berharap peminat bola sepak tempatan tidak lupa untuk turun memberi sokongan kepada pasukan negara.
“Kehadiran penyokong benar-benar memberi perbezaan kepada semangat kami ketika di padang,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan, hari ini.
Mengulas mengenai pertembungan menentang Cape Verde, Josue menyifatkannya sebagai satu ujian getir tetapi amat berguna dalam mengukur tahap sebenar kemampuan Harimau Malaya dari segi fizikal dan mental.
“Perlawanan seperti ini penting untuk menilai sejauh mana jurang antara kita dan pasukan bertaraf dunia. Ia cabaran besar, namun pengalaman yang sangat bernilai untuk pasukan,” tambahnya.
Sementara itu, perlawanan Manchester United menentang ASEAN All-Stars yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil sehari sebelum aksi Harimau Malaya, telah mencatat jualan tiket sebanyak 70,000, menunjukkan sambutan luar biasa daripada peminat EPL di Malaysia.
Walaupun akur dengan populariti jenama besar seperti Manchester United, Josue tetap berharap penyokong tempatan tidak melupakan tanggungjawab mereka untuk berdiri di belakang skuad kebangsaan.
Aksi menentang Cape Verde dijangka menjadi pentas penting buat Harimau Malaya dalam persiapan jangka panjang ke arah membina pasukan lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.