KUALA LUMPUR – Keceriaan jelas terpancar dalam kalangan penyokong setia Sri Pahang FC susulan pengumuman badan bebas First Instance Body (FIB) yang meluluskan permohonan Lesen Kebangsaan 2025–2026 bagi kelab berkenaan.
Walaupun status masa depan pasukan itu sebelum ini menjadi tanda tanya, kelulusan lesen untuk kekal bersaing di pentas Liga Super musim depan seolah-olah memberi sinar harapan buat pasukan yang berpengkalan di Pantai Timur itu.
Sri Pahang yang mencipta sensasi apabila berjaya mara ke pentas akhir Piala Malaysia April lalu, kini berdepan ujian getir untuk mengekalkan legasi mereka sebagai antara pasukan terkemuka dalam sejarah bola sepak tempatan.
Suara penyokong dan bekas pemain mula bergema, menyatakan harapan dan sokongan agar kelab ini terus utuh di persada liga dan tidak sekadar menjadi sejarah.
Penjaga gol utama Sri Pahang dalam kempen musim lalu, Muhammad Zarif Irfan Hashimudin, turut meluahkan harapan besar agar pasukan itu kekal bersaing dalam Liga Super.
“Saya sangat berharap pasukan kami kekal bermain di Liga Super, agar sejarah dan nama bola sepak Pahang tidak terpadam,” katanya.
Menurut Zarif, kekuatan sebenar Sri Pahang bukan hanya terletak pada nama besar, tetapi pada semangat kesatuan dalam kalangan pemain — tanpa mengira pengalaman atau usia.
Nada yang sama turut dizahirkan oleh bekas tonggak skuad Tok Gajah, R. Gopinathan atau lebih dikenali sebagai Muhammad Gopi Rizki, yang pernah membantu pasukan menjulang Piala Malaysia pada 2014.
Sebagai anak jati Pahang, Gopi optimis bahawa Sri Pahang masih mempunyai asas kukuh untuk terus bersaing — daripada pengalaman pemain senior, sokongan padu penyokong, hingga barisan kejurulatihan yang masih relevan.
Namun begitu, beliau juga menekankan perlunya ruang dan peluang kepada generasi muda untuk menyerlah demi kesinambungan kejayaan kelab.
“Saya harap pasukan bangkit lebih kuat dan kembali menjadi pencabar utama. Saya juga mahu lihat lebih ramai pemain muda diberi peluang,” katanya penuh semangat.
Dengan lesen Liga Super dalam genggaman, harapan kini tertumpu kepada keupayaan Sri Pahang untuk bangkit dan mengukuhkan kedudukan, sekali gus memastikan nama besar ini terus hidup dalam lipatan sejarah bola sepak Malaysia.