KUALA LUMPUR – Insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya baru-baru ini telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan aktivis alam sekitar, sekali gus menyoroti risiko kebergantungan terhadap bahan api fosil sebagai sumber tenaga utama.
Dalam satu kenyataan bersama, RimbaWatch dan Greenpeace Malaysia, bersama gabungan 21 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), menekankan bahawa insiden itu bukan sahaja mengancam keselamatan awam tetapi juga menimbulkan persoalan mengenai tahap pemantauan serta penyelenggaraan infrastruktur tenaga negara.
“Kejadian ini membuktikan bahawa risiko kebocoran dan kebakaran gas masih tinggi, terutama apabila saluran paip terus diperluaskan atau digunakan secara intensif.
Oleh itu, ketelusan dalam pemantauan dan pengurusan infrastruktur ini amat penting,” menurut kenyataan itu.
NGO berkenaan turut menyeru supaya maklumat berkaitan punca kejadian serta langkah keselamatan yang diambil didedahkan kepada orang ramai bagi memastikan ketelusan.
Selain itu, mereka menggesa kerajaan untuk mempercepat peralihan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga suria, yang dianggap lebih selamat dan mesra alam berbanding gas fosil.
Menurut mereka, Standard Kualiti Udara Ambien Malaysia yang digunakan kini masih di bawah piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dan ini boleh menjejaskan kesihatan awam dalam jangka panjang.
“Walaupun Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 menetapkan keperluan pemantauan selepas insiden pelepasan bahan berbahaya, tiada kewajipan untuk mendedahkan hasil pemantauan itu kepada masyarakat.
Ini menimbulkan persoalan tentang ketelusan dan akauntabiliti pihak berkaitan,” tambah kenyataan itu.
NGO tersebut turut mempersoalkan dasar keselamatan dan pengurusan risiko yang diguna pakai oleh syarikat tenaga utama, termasuk Petronas Gas Berhad, dengan merujuk kepada insiden terdahulu seperti kebocoran Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak yang mana maklumat siasatan tidak didedahkan kepada umum.
Merujuk kepada Prinsip 10 Deklarasi Rio mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan, mereka menyeru kerajaan dan Petronas untuk menjalankan siasatan penuh serta mendedahkan hasil siasatan secara telus.
Selain itu, NGO berkenaan juga menzahirkan kebimbangan terhadap potensi pencemaran udara akibat pelepasan metana serta risiko kesihatan yang mungkin timbul.
Mereka menggesa kerajaan untuk melaksanakan Peralihan Tenaga yang Adil (JET) dengan lebih berkesan, selain mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil bagi memastikan masa depan tenaga yang lebih bersih dan selamat.