Ahad, 20 Julai 2025
UTAMAHIBURANLuqman Faiz keracunan makanan lepas makan tiram mentah

Luqman Faiz keracunan makanan lepas makan tiram mentah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Penyanyi Luqman Faiz mengalami keracunan makanan selepas menikmati tiram mentah ketika berbuka puasa, malam tadi.

Luqman atau nama sebenarnya Luqman Abdul Halim Faiz, 25, berkata, kejadian berlaku selepas dia memakan lapan tiram mentah yang dibeli di sebuah pasar raya. Akibatnya, dia mengalami cirit-birit berulang kali selain badan menjadi lemah.

“Saya cirit-birit lebih 10 kali sampai tak lalu nak minum air kerana mulut rasa pahit, selain badan terasa macam hendak demam. Pukul 3 pagi tadi, saya gagahkan diri memandu ke hospital berdekatan kerana sudah tidak tahan menanggung kesakitan. Nasib baik saya mampu bertahan,” katanya.

Menurut Luqman, tiram yang dibeli kelihatan dalam keadaan baik namun rasanya tidak segar ketika dimakan. Bagaimanapun, dia menganggap perkara itu biasa dan tetap menghabiskannya.

“Memang saya rasa tiram itu macam ada bau sikit, tapi saya makan juga seperti biasa. Saya pula memang jenis makan apa sahaja… Kadang-kadang makanan hampir rosak pun saya fikir ia masih elok lagi,” tambahnya.

Sementara itu, Luqman memaklumkan bahawa keadaannya semakin pulih selepas mendapatkan rawatan kecemasan di hospital.

“Alhamdulillah tiada apa yang serius, insya-Allah esok saya dibenarkan keluar hospital. Saya akan lebih berhati-hati dalam memilih makanan selepas ini agar kejadian serupa tidak berulang lagi,” ujarnya.

Pada Khamis, Luqman berkongsi gambar dirinya sedang mendapatkan rawatan di hospital menerusi media sosialnya.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN
MYBERITA