Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAAHADMahasiswa beruniform tunjuk disiplin, kesepaduan dalam program perbarisan USM

Mahasiswa beruniform tunjuk disiplin, kesepaduan dalam program perbarisan USM

- Advertisement -

SUNGAI DUA – Derapan kaki yang sekata, deretan uniform yang kemas dan wajah penuh keyakinan menghiasi Padang Kawad Universiti Sains Malaysia (USM) apabila lebih 230 mahasiswa dari tujuh badan beruniform bergabung dalam satu perbarisan gilang-gemilang sempena Program Perbarisan Badan Beruniform Sidang Akademik 2024/2025.

Berlangsung penuh semangat dan simbolik, program anjuran Pusat Rancangan Kokurikulum USM ini mengetengahkan tema ‘Berbaris Satu Irama, Membina Mahasiswa Gemilang’ yang menzahirkan keutuhan disiplin, perpaduan dan jati diri mahasiswa dalam membina kepimpinan masa depan.

Program ini menyatukan kontinjen daripada enam badan beruniform rasmi USM Kampus Induk, PALAPES Darat, Laut dan Udara, Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS), Kor Siswa/Siswi Pertahanan Awam (SISPA), serta Pasukan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM USM) dan bersama satu pasukan dari Kampus Kejuruteraan iaitu St. John Ambulans Malaysia.

Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed yang turut hadir menyempurnakan majlis berkata, program seumpama ini bukan sekadar acara tahunan semata-mata, sebaliknya merupakan platform penting untuk melatih mahasiswa agar aktif menyertai aktiviti kokurikulum yang berimpak tinggi.

“Universiti sentiasa mendukung usaha memperkasakan penglibatan pelajar dalam bidang kokurikulum, kerana kami percaya graduan yang berjaya bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga unggul dari segi sahsiah, kepimpinan dan nilai kemanusiaan,” katanya yang juga merupakan Komandan PALAPES USM dan Komandan SUKSIS USM ketika ditemui.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) merangkap Komandan SISPA, Prof. Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat; Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum, Mejar Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Hazizan Mohd Hashim; dan Pengarah Projek merangkap Pegawai Kadet Kanan, Puteri Nur Ain Megat Hasbuddin.

Menurut Mohd Hazizan, penyertaan aktif dalam badan beruniform bukan sahaja menambah nilai dalam pembangunan karakter mahasiswa, malah membentuk keupayaan mereka untuk menghadapi cabaran dunia sebenar selepas tamat pengajian.

“Pengalaman ini mengajar mereka tentang kepatuhan, daya tahan, dan pentingnya kerjasama, satu nilai yang tidak mudah diperoleh dalam kelas,” ujarnya.

Sementara itu, Puteri Nur Ain menyifatkan perbarisan ini sebagai simbol semangat anak muda yang bersedia menyahut cabaran demi kemajuan negara.

“Apa yang kita lihat hari ini ialah barisan mahasiswa beruniform yang tampil dengan bangga, berdisiplin dan bersatu, cerminan komitmen mereka terhadap tanggungjawab dan masa depan negara,” katanya.

Acara turut diserikan dengan pameran badan beruniform dan persembahan seni mempertahankan diri yang memukau perhatian penonton.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN