Selasa, 8 Julai 2025
UTAMAMAHKAMAHMahkamah tetapkan keputusan DNAA Najib pada 20 Jun

Mahkamah tetapkan keputusan DNAA Najib pada 20 Jun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 20 Jun ini bagi keputusan sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana RM27 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul.

Terdahulu, Muhammad Shafee memohon mahkamah memberikan DNAA kepada Najib atas alasan pendakwaan masih memerlukan masa bagi mendapatkan dokumen penting berkaitan perbicaraan kes SRC melibatkan dana RM42 juta yang lalu.

“Kes ini telah berlarutan lebih enam tahun sejak Najib didakwa pada 2019, dan dokumen berkaitan masih belum lengkap kerana berada di pelbagai lokasi termasuk Mahkamah Persekutuan dan terlibat dalam prosiding sivil,” katanya.


Menurut beliau, langkah DNAA merupakan penyelesaian wajar buat masa ini tanpa menutup peluang kepada pendakwaan untuk meneruskan kes di masa akan datang.

Sementara itu, pendakwaan memaklumkan mereka sedang berusaha mendapatkan semula bahan bukti terdahulu sebelum perbicaraan penuh kes ini dapat dijalankan.

Najib, 71, didakwa menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank miliknya di AmIslamic Bank Berhad pada 8 Julai 2014.

Beliau berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN