ARAU — MAHSA University FC mencipta sejarah tersendiri apabila merangkul kejuaraan Liga Bola Sepak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2025 Divisyen 2 buat pertama kalinya selepas menundukkan Universiti Malaya (UM) 1-0 dalam aksi perlawanan akhir yang berlangsung di Padang Kompleks Sukan Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Perlis, petang tadi.
Gol kemenangan skuad MAHSA University FC dijaringkan oleh penyerang prolifik mereka, Amir Hakimi Mohd Dasuki, pada minit ke-78 sekaligus mengesahkan beliau dengan gelaran Penjaring Gol Terbanyak.

Menurut kapten pasukan, Muhammad Izham Nur Alizan, kemenangan itu amat bermakna kerana ia merupakan kali pertama MAHSA University FC menjulang trofi tersebut sejak penubuhan mereka.
“Kami lambat ‘settle down’, tapi berkat semangat, kami bangkit,” katanya ketika dihubungi MYBERITA.
“Lawan kami, UM, memang berpengalaman. Kami pula masih dalam proses bina ‘chemistry’ sebab ada beberapa pemain baharu yang belum banyak masa bermain bersama. Jadi, memang agak sukar, tapi Alhamdulillah kami berjaya atasi semua tu,” ujarnya lagi.
Izham turut berkongsi kata-kata semangat daripada jurulatih mereka sebelum perlawanan berlangsung yang menjadi pembakar semangat utama buat seluruh pasukan.

“Coach cuma minta kami banggakan tiga perkara – nama MAHSA, penyokong MAHSA dan mak ayah kami. Itu cukup untuk buat kami berjuang habis-habisan,” katanya.
Kejayaan bergelar juara Liga IPT Divisyen 2 ini juga membawa MAHSA University FC secara automatik ke Piala Pendidikan Tinggi (KPT) yang dijadualkan berlangsung pada Oktober ini, di samping kelayakan ke Liga IPT Divisyen 1 musim hadapan.

Pemain sayap, Muhammad Danial Hakimi Salehudin, berkata sebagai menghargai pencapaian luar biasa pasukan, pihak pengurusan MAHSA turut mengumumkan pemberian insentif khas kepada semua pemain termasuk kenaikan elaun dan gaji.
“Alhamdulillah, kami semua terharu. Bukan hanya yang menjaringkan gol, malah kesemua pemain diberi bonus dan dihargai. Ini motivasi besar untuk kami terus mara,” tambah Danial.
Ditanya pasukan manakah yang dianggap paling mencabar sepanjang perlawanan kali ini, Danial tanpa berselindung menyebut nama UiTM sebagai lawan yang sering diberi perhatian.
“UiTM memang konsisten dan kami respek kekuatan mereka. Tapi Alhamdulillah, kami buktikan MAHSA juga boleh bersaing di pentas tertinggi,” katanya.
Turut menjadi sorotan adalah prestasi cemerlang Muhammad Izham Nur Alizan sendiri yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan selepas menunjukkan aksi kepimpinan mantap di jantung pertahanan sepanjang 90 minit perlawanan.