Jumaat, 11 Julai 2025
UTAMASEMASAMakan Nasi Kerabu RM44, tapi daging macam batu

Makan Nasi Kerabu RM44, tapi daging macam batu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Seorang pelanggan meluahkan rasa kecewa apabila dikenakan bayaran sebanyak RM44 untuk sepinggan nasi kerabu bersama lauk daging, namun daging yang diterima dikatakan terlalu keras seperti batu, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap harga dan kualiti makanan yang disajikan.

Kisah tersebut dikongsikan menerusi satu hantaran video di akaun TikTok oleh pengguna bernama @umairah_halim, yang mendakwa harga makanan tersebut bukan sahaja terlalu mahal, malah tidak setimpal dengan keadaan lauk yang diberikan.

“Mulo tu dengar 14 ya, aponyo keno 44 ya. Tok laki aku oyak kalu 30 ya boleh kiro lagi,” katanya dalam loghat Kelantan, merujuk kepada kekeliruan awal mengenai harga sebenar makanan itu.

Menurut wanita itu, dia difahamkan bahawa lauk nasi kerabu tersebut mungkin mengandungi lada solok dan daging tambahan, namun dia secara sinis mengandaikan bahawa peniaga mungkin menggunakan daging wagyu, memandangkan harganya yang tinggi, walaupun teksturnya langsung tidak mencerminkan kualiti daging premium.

“Dio guno wagyu kali gak, tapi kerah po batu daging dio,” luahnya kecewa.

Walaupun tidak dinyatakan secara jelas lokasi premis makanan tersebut, berdasarkan tanda pagar yang digunakan, nasi kerabu itu dipercayai dibeli di pasar pagi di Seksyen 13, Shah Alam.

Menjawab komen pengguna lain di TikTok, Umairah menegaskan bahawa tiada masalah jika peniaga ingin mengenakan harga sedikit tinggi, asalkan makanan yang disajikan berkualiti dan berbaloi dengan harga.

“Nak jual murah boleh, jangan sampai mati modal. Nak jual mahal sikit pun boleh, tapi biar padan dengan barang,” katanya.

Di ruangan komen, ramai netizen turut bersetuju bahawa harga RM44 untuk nasi kerabu lauk daging adalah terlalu mahal. Mereka membandingkan dengan harga makanan yang sama di negeri asal nasi kerabu, Kelantan, yang jauh lebih murah.

“Mahal betul, saya hari tu makan nasi kerabu lemak bakar dan solok lada baru RM9. Kat Kelantan lah,” kata seorang pengguna.

“RM44 baik beli tiket bas balik kampung, beli nasi kerabu RM3, RM4 sebungkus. Boleh makan, boleh jumpa mak pula,” komen seorang lagi secara berseloroh.

“Pakai beras basmati ko gano ni? Ikan salmon ke tu?” ujar seorang individu dalam nada sinis.

Kejadian ini mencetuskan perbincangan dalam kalangan warganet mengenai harga makanan yang semakin meningkat serta kepentingan kualiti dan ketelusan harga dalam perniagaan makanan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN