Jumaat, 11 Julai 2025
UTAMANASIONALMalaysia, ASEAN utamakan rundingan dan kesepaduan tangani isu serantau

Malaysia, ASEAN utamakan rundingan dan kesepaduan tangani isu serantau

- Advertisement -

KUALA LUMPUR — Malaysia dan ASEAN berpegang teguh kepada prinsip rundingan serta semangat kesepaduan dalam mencari jalan penyelesaian yang adil dan seimbang bagi semua negara anggota.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian itu ketika menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, pagi ini.

Dalam kenyataan yang dikongsikan di Facebook rasmi beliau, Anwar berkata kedua-dua pemimpin telah berbincang dan bertukar pandangan berhubung beberapa isu semasa, termasuk tarif perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) dan implikasinya terhadap rantau ini.

“Saya juga tekankan keperluan ASEAN memperkukuh kesepakatan serantau agar sebarang langkah susulan dapat diselaras secara tuntas dan berkesan,” katanya.

Anwar turut memaklumkan bahawa Malaysia pada hari ini menganjurkan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN bagi meneliti isu tarif perdagangan berkenaan secara mendalam serta merangka pendekatan kolektif yang terbaik.

Menurut beliau, Malaysia tetap komited untuk memperkukuh kerjasama erat dengan New Zealand, bukan sahaja sebagai rakan dua hala tetapi juga dalam konteks ASEAN.

“Kami akan terus mengadakan dialog dan rundingan bersama rakan dagang utama lain dalam usaha membentuk hala tuju ekonomi serantau yang lebih inklusif dan berdaya tahan,” katanya lagi.

Hubungan kukuh antara Malaysia dan New Zealand dijangka terus menjadi pemangkin kepada kestabilan serta pertumbuhan ekonomi yang mampan di rantau Indo-Pasifik.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN