KUALA LUMPUR — Malaysia menggerakkan bantuan kemanusiaan ke Myanmar susulan gempa bumi bermagnitud 7.7 yang mengorbankan lebih 1,600 nyawa dan mencederakan lebih 3,400 orang pada Jumaat lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menghubungi Jeneral Kanan Min Aung Hlaing bagi menyampaikan ucapan takziah mewakili Malaysia.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited membantu Myanmar dalam menghadapi krisis ini.
Menurutnya, Malaysia telah menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Myanmar bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan paling terjejas.
Dua pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut dikerah ke Naypyidaw membawa 50 anggota SMART bersama peralatan khas.
Selain itu, Anwar memaklumkan bahawa Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai satu misi kemanusiaan ke Myanmar dalam masa terdekat.
Malaysia juga telah memperuntukkan bantuan awal sebanyak RM10 juta bagi membantu mangsa gempa.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut menghubungi Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra bagi merakamkan rasa simpati terhadap bencana yang turut melanda negara itu.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha ASEAN dalam membantu Myanmar mencari penyelesaian damai terhadap krisis yang berlarutan.
Anwar dijadualkan mengadakan lawatan kerja ke Bangkok pada 17 April untuk meneruskan perbincangan lanjut bersama Paetongtarn.