KUALA LUMPUR — Tema ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ menjadi tema rasmi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM2025), seperti yang diumumkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM2025, dalam sidang media mingguannya pada Rabu.
Tema ini mengekalkan semangat Malaysia MADANI yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menekankan pembangunan yang seimbang antara kemajuan fizikal dan rohani rakyat. Penekanan terhadap frasa ‘Rakyat Disantuni’ menggambarkan keutamaan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian utama.
Menurut Fahmi, logo rasmi HKHM yang digunakan pada tahun sebelumnya turut dikekalkan bagi tempoh tiga tahun, iaitu sehingga tahun 2027, sebagai lambang kesinambungan naratif Malaysia MADANI yang mampan dan inklusif.
Sambutan Bulan Kebangsaan akan bermula dengan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 yang dijadual berlangsung pada 27 Julai 2025 di Johor. Ia akan disusuli dengan Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2025 di Putrajaya, manakala Sambutan Hari Malaysia pula akan diraikan di Pulau Pinang pada 16 September 2025.
Sepanjang tempoh sambutan, pelbagai program patriotik dan kenegaraan akan diadakan untuk menyemarakkan semangat cintakan tanah air. Antara program yang dijadualkan ialah Quran Hour, Kira Detik Merdeka, 1Rumah 1Jalur Gemilang, Kembara Merdeka Jalur Gemilang, Pengisahan Kenegaraan @Kelab Malaysiaku, PENTARAMA Merdeka@HOHO, Wayang Pacak Merdeka, RIUH Merdeka, dan pelbagai lagi aktiviti menarik yang melibatkan semua lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, portal rasmi Merdeka360 (https://www.merdeka360.my/web/) yang menjadi platform utama promosi HKHM2025 telah diperbaharui dengan penambahan menu ‘Kalendar Acara’, yang memaparkan senarai program dan aktiviti di semua peringkat – nasional, kementerian, negeri dan daerah. Panduan berkaitan penggunaan logo rasmi HKHM2025 juga boleh dirujuk di portal berkenaan.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Penerangan, Julina Johan.