KUALA LUMPUR – Malaysia bakal menerima pasangan baharu Giant Panda bagi tempoh 10 tahun akan datang menerusi Perjanjian Baharu Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda yang dimeterai bersama Republik Rakyat China (RRC) semalam.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pemeteraian perjanjian itu disifatkan sebagai simbol persahabatan erat antara kedua-dua negara, sekali gus menyokong usaha diplomasi konservasi selari dengan semangat Malaysia Madani.
Majlis pertukaran perjanjian tersebut berlangsung di Kompleks Seri Perdana dan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden RRC, Tuan Yang Terutama Xi Jinping sempena Lawatan Negara Presiden China ke Malaysia.
Dalam kenyataan yang dikongsi di media sosial, Nik Nazmi berkata, Malaysia sebelum ini menerima sepasang Giant Panda pada tahun 2012 dan berjaya mencapai kejayaan luar biasa dalam konservasi ex-situ dengan kelahiran tiga anak Giant Panda di Zoo Negara.
Perjanjian baharu itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim mewakili Malaysia dan Setiausaha Agung China Wildlife Conservation Association (CWCA), Yan Jian mewakili pihak China.
Nik Nazmi turut menyatakan harapan agar kehadiran panda baharu ini akan terus memperkukuh persefahaman serta kerjasama saintifik antara Malaysia dan China dalam pemeliharaan spesies hidupan liar ikonik dunia.