KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial dan usahawan muda, Faiz Aizif sekali lagi mencuri perhatian warganet apabila berkongsi momen menyentuh hati bersama ibunya menerusi satu hantaran di Instagram pada Isnin.
Dalam perkongsian tersebut, Faiz menceritakan bahawa ibunya hanya berhajat untuk membeli sepasang baju dan kasut berharga RM40 dan RM70. Namun, sebagai tanda kasih sayang, Faiz tidak teragak-agak memberikan RM1,000 kepada ibunya tanpa diminta.
“Even mama tahu anak dia boleh ja beli baju ratus atau ribu ringgit dekat dia. Tapi dia tak pernah minta pun semua tu,” tulis Faiz dalam kapsyen tersebut.
Menurut Faiz, beliau bersyukur dikurniakan keluarga yang mengamalkan gaya hidup sederhana dan tidak mengutamakan kemewahan. Meskipun dirinya sering menghadiahkan barangan berjenama mahal kepada rakan dan orang sekeliling, beliau sendiri selesa memakai pakaian biasa.
“Saya sendiri pakai jersi RM15, seluar trek dari pasar malam. Beg-beg mahal semua orang hadiahkan, saya tak beli pun,” katanya.
Faiz turut menyatakan bahawa sikap tidak mementingkan kemewahan itu turut dikongsi oleh adik-beradik dan ibunya, dan ia menjadi satu nikmat yang besar buat dirinya.
“Biar kita hidup macam mana kita selalu hidup. Mewah tak bawa kita ke mana pun. Bahagia dengan cara kita saja, bukan?” katanya menutup kapsyen.
Perkongsian tersebut menerima pujian pengguna media sosial yang ditunjukkan oleh Faiz serta penghargaan beliau terhadap keluarganya.
Sebelum ini, Faiz Aizif pernah menjadi perhatian ramai apabila videonya memberi makan kepada anjing terbiar di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi tular di media sosial. Tindakan spontan itu menerima pujian meluas kerana memperlihatkan sikap empati dan belas kasihan terhadap haiwan.
Dengan pendekatan hidup yang sederhana dan keprihatinan terhadap insan serta makhluk lain, Faiz Aizif terus membuktikan bahawa nilai kemanusiaan jauh lebih penting daripada penampilan luaran semata-mata.