KUALA LUMPUR – Penerbit dan komposer terkenal, Man Senoi atau nama sebenarnya Othman Masri, menuntut agar Datuk AC Mizal dan anggota kumpulan 4U2C tampil bersemuka dan memohon izin rasmi sekiranya ingin menggunakan 25 lagu ciptaannya dalam Konsert WE 4U2C yang dijadual berlangsung September ini.
Memetik laporan sebuah portal media tempatan, Man Senoi yang telah lebih 30 tahun menyepi, menegaskan bahawa beliau mempunyai hak mutlak terhadap karya-karyanya dan tidak menghalalkan penggunaannya sekiranya pihak penganjur meneruskan konsert tanpa kebenaran.
“Setelah 30 tahun saya dan isteri diam, tapi kalau nak buat konsert, memang perlu izin saya sebab itu hak saya sebagai pencipta,” katanya tegas.

Beliau juga meluahkan rasa kesal apabila tiada sebarang usaha untuk menghubunginya secara profesional bagi menyelesaikan perkara ini secara baik.
“Kenapa tak hubungi saya dan isteri? Kami masih hidup. Awak yang nak guna hak saya, jadi awaklah yang patut datang bincang,” ujarnya.
Man Senoi turut menyelar tindakan pihak terlibat yang dikatakan melenting apabila beliau menuntut haknya sebagai pencipta lagu, dan menyifatkan ia sebagai satu tindakan tidak menghormati undang-undang.
“Kalau tak hormat undang-undang, maka hadapilah undang-undang. Saya akan rujuk peguam yang arif dalam hal hak cipta,” tambahnya.
Komposer itu juga memberi amaran tegas bahawa beliau tidak akan menghalalkan sebarang penggunaan lagu-lagu ciptaannya di dunia mahupun akhirat sekiranya perkara ini tidak diselesaikan secara adil dan telus.
“Kalau tak selesaikan isu ini, saya tak akan halalkan segala usaha saya dan isteri dalam menaikkan nama 4U2C. Tuhan sentiasa memerhati,” katanya menutup kenyataan.
Isu ini mencetuskan perdebatan hangat di media sosial apabila Man Senoi dan isterinya, Mama Rap, menyatakan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak 4U2C kerana menggunakan lagu-lagu mereka tanpa kebenaran rasmi.