KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun meneruskan momentum cemerlang mereka apabila mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Singapura 2025 selepas menewaskan lawan dari China sebentar tadi.
Pasangan yang baru sahaja muncul juara Malaysia Masters 2025 itu membuktikan keampuhan permainan mereka dengan kemenangan straight set ke atas gandingan Huang Di-Liu Yang dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura.
Man-Tee, yang kini berada di ranking ketujuh dunia, menguasai permainan dengan tenang dan konsisten, memenangi set pertama 21-16. Mereka kemudian tidak menoleh ke belakang apabila mengekalkan rentak kemenangan dengan keputusan sama 21-16 pada set kedua, sekali gus menempah tiket ke pusingan suku akhir yang dijadual berlangsung pada Jumaat ini.
Kejayaan ini bukan sahaja mengukuhkan status mereka sebagai antara beregu elit dunia, malah membuktikan usaha mereka dalam mengekalkan prestasi terbaik kini semakin berhasil.
Menariknya, aksi suku akhir nanti dijangka menjadi pertembungan ulangan final Malaysia Masters apabila Man-Tee berkemungkinan besar bakal bertemu sama ada rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik atau beregu pilihan dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.
Perlawanan tersebut pastinya dinantikan peminat badminton tanah air yang mengharapkan rentetan kemenangan Man-Tee dapat diteruskan hingga ke peringkat akhir kejohanan.