Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMASEMASAMangsa anjing liar kini ditidurkan, keluarga mohon doa orang ramai

Mangsa anjing liar kini ditidurkan, keluarga mohon doa orang ramai

- Advertisement -

RAWANG – “Sekarang ini Adeeb ditidurkan, saya harap dia cepat sedar dan sembuh seperti sedia kala, minta semua tolong doakan untuk Adeeb,” luahan penuh harapan daripada Mohd Zarawi Manaf, 47, bapa kepada Muhammad Adeeb Naqiuddin Mohd Zarawi, 14, yang menjadi mangsa serangan sekumpulan anjing liar pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian yang berlaku di Jalan 6/40 Blok 6 Primula Julian, Bandar Tasik Puteri, Rawang, Muhammad Adeeb, yang lebih mesra dipanggil Adeeb, mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian tubuh dan kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh.

Menurut Mohd Zarawi, anak keempatnya itu terpaksa ditidurkan kira-kira pukul 7.15 malam semalam selepas paras oksigen dalam badan Adeeb menurun.

“Doktor nasihatkan Adeeb ditidurkan supaya dia cukup rehat. Sebelum itu Adeeb ada bersembang dengan kami dan dia tanya lama lagi ke dia kat sini (dalam wad), bila boleh balik. Semalam dia banyak berbual dengan kami, bercerita tentang kawan-kawannya,” katanya.

“Dia ada cakap pasal kawan-kawannya dan seolah-olah tidak sabar untuk balik rumah. Namun, dua tiga hari ini dia hanya menyebut yang dia dahaga dan ingin minum air. Dia juga tanya lambat lagi ke boleh balik,” tambahnya.

Mohd Zarawi mengakui sedikit kecewa apabila anaknya terpaksa ditidurkan kerana sebelum itu, keadaan Adeeb agak stabil.

“Saya harap Adeeb cepat sembuh, terutamanya kecederaan pada organ-organ dalamannya. Bila dah ditidurkan, kita tak tahu sampai bila, jadi kami harap dia cepat sedar dan pulih,” jelasnya.

Sementara itu, Noor Azlina Abdul Samad, ibu kepada Adeeb, berkata kecederaan yang dialami anaknya terutamanya pada organ dalaman berada pada tahap dua dan empat.

“Hati Adeeb pada tahap empat, yang awalnya tahap lima. Buah pinggangnya juga pada tahap empat, limpa pada tahap dua, selain sedikit calar pada dagu dan dada. Namun yang paling serius adalah kecederaan pada organ dalaman, terutamanya hati,” ujarnya.

Noor Azlina berkata, sebelum ditidurkan, Adeeb sempat bersalaman dengannya dan suami serta meminta agar orang ramai mendoakan kesembuhannya.

“Sebagai ibu, saya mohon doa daripada semua. Semoga ada doa yang dimakbulkan oleh Allah, dan Adeeb cepat sedar serta sembuh seperti biasa,” katanya.

Menurut laporan media, kejadian malang ini berlaku ketika Adeeb dalam perjalanan pulang dari Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) menengah di Sekolah Rendah Agama As Sadiqqin, Bandar Tasik Puteri, Rawang. Dalam kejadian sekitar pukul 11.15 pagi itu, Adeeb terjatuh ke dalam longkang selepas melanggar pembahagi jalan akibat dikejar oleh sekumpulan anjing liar.

Rakan Adeeb, Muhammad Sa’di Mohd Sufian, 14, turut terlibat dalam kejadian itu, namun dia tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, persatuan penduduk di kawasan itu telah beberapa kali membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengenai masalah anjing liar di situ, kerana insiden serupa bukan pertama kali berlaku di kawasan tersebut.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN