PUTRA HEIGHTS – Kementerian Digital menyalurkan sumbangan peranti elektronik bernilai anggaran RM300,000 kepada mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, sebagai usaha meringankan beban mangsa yang kehilangan atau mengalami kerosakan peranti elektronik akibat insiden tersebut.
Inisiatif ini diterajui oleh agensi-agensi di bawah Kementerian Digital, termasuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MyDigital Corporation dan Digital Nasional Berhad (DNB), yang memainkan peranan utama dalam mengumpul dan menyelaras barangan sumbangan.
Antara barangan yang disumbangkan termasuk 500 unit power bank, 150 unit beg sekolah dan alat tulis, 100 unit tablet, 138 unit komputer riba, empat unit mesin cetak serta pelbagai peranti elektronik lain.
Sumbangan ini adalah hasil kerjasama pelbagai pihak, antaranya MDEC, Payments Network Malaysia (PayNet), Kiddocare Sdn Bhd, Huawei Malaysia, Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM), Sri Computers Sdn Bhd, Dell Technologies, Jirnexu Malaysia Sdn Bhd, Lenovo Malaysia, Ant International, Acer Malaysia serta beberapa penderma persendirian.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Masjid Putra Heights sebelum ini, dimaklumkan bahawa ramai mangsa kehilangan peranti elektronik seperti telefon pintar dan komputer riba yang menjadi keperluan utama dalam kehidupan harian, termasuk untuk urusan pembelajaran dan pekerjaan.
Sumbangan tersebut telah disampaikan dalam satu majlis di PPS Masjid Putra Heights oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, bersama Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil, dan barisan pengurusan tertinggi syarikat penyumbang. Agihan peranti pada hari ini telah diselaraskan oleh Menteri Besar Incorporation (MBI) bagi memastikan setiap barangan sampai kepada penerima yang layak.
Usaha ini diharap dapat membantu mangsa kembali menjalani rutin harian mereka dengan lebih baik serta memberi sokongan moral dan praktikal dalam mendepani cabaran selepas tragedi.