Khamis, 17 Julai 2025
UTAMANASIONALMartabat insan, perpaduan kunci keamanan negara

Martabat insan, perpaduan kunci keamanan negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan mengangkat martabat insan serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat sebagai asas utama kestabilan dan keamanan negara.

Dalam perutusan khas Aidilfitri malam ini, beliau turut berkongsi pengalaman menyertai siri Program Ihya’ Ramadan di beberapa kementerian serta negeri, termasuk Selising, Tawau, dan Chukai.

“Keistimewaannya ialah menyaksikan sendiri di peringkat akar umbi, mendengar denyut nadi rakyat, keluhan mereka dan usulan mereka serta melihat keberkesanan kaedah pelaksanaan yang dijalankan oleh kerajaan Persekutuan, negeri dan perbandaran atau kerajaan tempatan,” katanya.

Menurut Anwar, kerajaan akan terus menjana pertumbuhan ekonomi, namun menegaskan bahawa kejayaan sebenar adalah dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan rakyat terbanyak.

Beliau juga menekankan bahawa Aidilfitri bukan sekadar perayaan kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa, tetapi juga satu peringatan penting untuk menanam sikap ihsan, hormat-menghormati serta kasih sayang antara masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Tanpa sikap hormat-menghormati antara satu sama lain dan tanpa menanam sikap ihsan serta kasih sayang, negara ini tidak akan dapat menjamin kestabilan dan keamanan yang diharapkan,” ujarnya.

Beliau berharap sambutan Aidilfitri tahun ini dapat menjadi titik tolak ke arah membentuk masyarakat yang lebih berwibawa, berakhlak mulia, dan bertanggungjawab.

Dalam kesempatan itu, Perdana Menteri turut memohon kemaafan kepada rakyat serta berjanji akan terus berusaha melakukan yang terbaik demi kebajikan semua.

“Salam kepada semua, kepada keluarga, sanak saudara, bermaaf-maafan termasuk dari saya dengan segala kekurangan. Insya-Allah, saya akan melakukan yang terbaik demi kebaikan semua,” katanya.

Perutusan khas tersebut turut menyeru rakyat untuk menghayati semangat Aidilfitri dengan semangat perpaduan dan kasih sayang demi kesejahteraan negara.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN