KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, menegaskan bahawa tindakan tegas dan tanpa kompromi harus diambil terhadap akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, susulan penerbitan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap — tanpa lambang bulan sabit — dalam muka depannya semalam.
Ilustrasi berkenaan memaparkan jong mengibarkan bendera Malaysia dan China sempena lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.
Namun, bendera Malaysia yang dipaparkan jelas tidak memaparkan simbol bulan sabit yang menjadi lambang penting dalam Jalur Gemilang.
Sin Chew dalam kenyataan semalam memohon maaf atas apa yang mereka sebut sebagai “kesilapan teknikal”, serta menyusun sepuluh jari memohon jutaan maaf kepada semua rakyat.
Mereka juga telah membetulkan ilustrasi berkenaan dalam versi digital serta menerbitkan semula versi pembetulan dalam edisi cetakan hari ini.
“Permohonan Maaf Tak Memadai” – Maszlee
Maszlee, yang juga pemimpin PKR, menyifatkan permohonan maaf itu tidak mencukupi memandangkan ia melibatkan simbol kedaulatan negara.
“Bendera Malaysia adalah soal kedaulatan! Mohon maaf hanya boleh diterima jika dilakukan oleh orang yang jahil, dungu dan tersilap.
“Sebuah akhbar tersohor berusia hampir seratus tahun, dengan lebih 500,000 pembaca serta editor berpengalaman, boleh melakukan kesilapan pada bendera negara sendiri?
“Apakah permohonan maaf kecil sahaja memadai? Seseorang perlu ambil tanggungjawab,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Maszlee turut menyeru agar individu bertanggungjawab sama ada meletakkan jawatan atau dihadapkan ke muka pengadilan.
Beliau bimbang sekiranya tindakan tidak diambil, ia akan membuka ruang kepada perbuatan memperlekehkan Jalur Gemilang secara berulang.
“Harap pihak berwajib ambil tindakan tegas dan tidak berkompromi dalam isu ini,” tambahnya.
Sebagai peringatan, Jalur Gemilang mempunyai 14 jalur merah dan putih melambangkan kesatuan 13 negeri dan satu wilayah persekutuan dalam persekutuan Malaysia.
Lambang bulan sabit pula mewakili agama Islam sebagai agama Persekutuan, manakala bintang 14 mata dikenali sebagai Bintang Persekutuan yang melambangkan perpaduan kesemua entiti.
Ketiadaan bulan sabit dalam ilustrasi bendera Malaysia dianggap satu kecuaian serius kerana ia mengabaikan simbol utama yang mewakili asas Perlembagaan negara.