TROLAK – Penemuan mayat reput dalam keadaan tergantung pada sebatang pokok di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Gunung Besout 2 di sini mencetuskan tanda tanya dan misteri dalam kalangan penduduk setempat.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 5.13 petang pada Ahad selepas seorang penduduk yang sedang mencari lembu ternakannya terlihat mayat tersebut tergantung pada dahan pokok, kira-kira 10 meter dari jalan utama ladang berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati mayat dalam keadaan reput dan tidak berpakaian, selain tiada dokumen pengenalan diri dijumpai. Namun berhampiran lokasi, terdapat beberapa barangan termasuk sehelai baju dalam wanita di dalam parit serta sepasang selipar berwarna biru bersaiz 40.
“Turut ditemui, tali di leher mayat yang dipercayai merupakan rantai ikatan perkahwinan kaum India,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mayat tersebut telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Menurut Mohd Hasni, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Beliau turut menggesa orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mengenali individu yang hilang agar tampil ke hadapan bagi membantu proses pengecaman.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pemangku Ketua Polis Balai Trolak, Sarjan Mohamad Riza Sahiaren di talian 017-560 3331 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di 05-452 8222.