KUALA LUMPUR – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara sekitar jam 7.10 malam tadi.
Menerusi satu ciapan di laman Facebook rasmi beliau, Wan Rosdy turut memaklumkan bahawa beliau bersama beberapa rakan lain telah menziarahi jenazah Allahyarham di kediamannya di Kuala Lumpur, sebentar tadi.
“Sesungguhnya kita kehilangan seorang negarawan yang telah banyak menyumbangkan jasa terhadap pembangunan negara,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta beramal soleh.
“Al-Fatihah,” tambahnya ringkas dalam hantaran tersebut.
Tun Abdullah, yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah, merupakan Perdana Menteri Malaysia dari tahun 2003 hingga 2009 dan juga bekas Presiden UMNO. Sepanjang kepimpinannya, beliau dikenang sebagai seorang pemimpin berjiwa tenang dan membawa pendekatan wasatiyyah dalam pentadbiran negara.