Isnin, 21 Julai 2025
UTAMANASIONALMCMC panggil TikTok beri penjelasan isu 'PK Battle', Fahmi tegas lindungi remaja...

MCMC panggil TikTok beri penjelasan isu ‘PK Battle’, Fahmi tegas lindungi remaja bawah umur

- Advertisement -

BUKIT MERTAJAM – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bertemu pihak pengurusan TikTok bagi mendapatkan penjelasan berhubung trend “Personal Knockout Battle” (PK Battle) yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan pengguna muda dan menimbulkan kebimbangan ibu bapa.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, arahan telah dikeluarkan kepada MCMC pagi ini untuk memanggil pihak TikTok bagi memberikan maklum balas segera, selewat-lewatnya minggu ini, susulan laporan media mengenai trend itu.

“Kami pandang serius isu ini. TikTok beroperasi di Malaysia dengan lesen yang sah, maka mereka bertanggungjawab tampil memberi penjelasan serta menyatakan langkah-langkah penyelesaian terhadap kebimbangan yang dibangkitkan,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke NADI Kubang Semang, pada Isnin.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen), Julina Johan.

PK Battle merupakan ciri pertandingan dalam aplikasi TikTok yang mendorong pengguna bersaing secara langsung untuk memperoleh ‘gift’ atau hadiah maya daripada penonton – satu trend yang dilaporkan telah menyebabkan kanak-kanak membelanjakan sejumlah wang yang besar semata-mata untuk menang.

Mengulas lanjut, Fahmi menegaskan bahawa kanak-kanak bawah umur 13 tahun tidak sepatutnya mempunyai akaun TikTok atau mana-mana media sosial lain, sebagai langkah melindungi mereka daripada kandungan tidak sesuai.

“Golongan ini masih mentah dan mudah terpengaruh dengan trend seperti PK Battle tanpa benar-benar memahami kesan psikologi dan kewangan terhadap diri mereka. Kerajaan komited dalam memastikan perlindungan terhadap pengguna bawah umur,” katanya.

Pada 28 Mei lalu, sebuah NGO, Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat, turut menghantar memorandum kepada Istana Negara memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong agar PK Battle diharamkan sepenuhnya di negara ini.

Sementara itu, Fahmi turut memaklumkan bahawa proses penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) sedang berjalan, namun pelaksanaannya dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan selepas ia ditubuhkan bagi membolehkan proses pemilihan ahli jawatankuasa dilakukan.

Beliau berkata, Mohamad Fauzi telah diarahkan untuk meneliti mekanisme terbaik dalam menyalurkan dana kepada MMM secara berkesan, memandangkan majlis itu dibenarkan meraih pembiayaan daripada sumber sah yang pelbagai.

“Saya harap satu atau dua bulan akan datang kita dapat mulakan mesyuarat awal. Namun, saya juga beri ruang kepada Lembaga Pengasas untuk meneliti beberapa perkara penting sebelum kerajaan campur tangan secara langsung,” katanya.

Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 26 Februari lalu dan seterusnya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum diwartakan. Penguatkuasaannya diumumkan pada 14 Jun bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional 2025 dan dilihat sebagai satu langkah reformasi besar dalam sektor media negara.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN
MYBERITA