Selasa, 8 Julai 2025
UTAMASEMASAMenang tipis tapi berharga, Sabah FC kukuh di tempat ketiga

Menang tipis tapi berharga, Sabah FC kukuh di tempat ketiga

- Advertisement -

KOTA KINABALU – Pengendali Sabah FC, Martin Stano meluahkan rasa gembira selepas pasukannya berjaya meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas PDRM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam tadi sekali gus meletakkan semula Sabah FC di tangga ketiga carta liga.

Menurut Stano, kedudukan itu akan cuba dipertahankan dalam baki dua perlawanan terakhir musim ini bagi memastikan sasaran pasukan untuk kekal di tempat ketiga tercapai.

“Ini bukan perlawanan yang mudah, terutama selepas kira-kira sebulan tanpa aksi kompetitif akibat Ramadan dan sambutan Aidilfitri. Sukar untuk kembalikan rentak permainan, lebih-lebih lagi apabila pasukan lawan kelihatan lebih bersedia,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Sabah FC berjaya mencipta jaringan tunggal menerusi tandukan Dominic Tan pada minit ke-42, yang menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.

Stano turut mengakui pasukannya kurang menyerlah pada babak pertama apabila memberi ruang kepada PDRM mencipta beberapa peluang, namun keadaan bertambah baik selepas rehat separuh masa.

“Apa pun, kita perlu gembira kerana berjaya dapat tiga mata di Stadium Likas. Kita selangkah lebih dekat untuk capai sasaran mengekalkan tempat ketiga liga,” ujarnya.

Dalam pada itu, Stano memaklumkan bahawa empat pemain utama tidak akan dapat diturunkan pada perlawanan akan datang menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas menerima kad kuning kedua malam tadi.

Pemain terbabit ialah Saddil Ramdani, Muhammad Jafri Firdaus Chew, Park Taesu dan Daniel Ting, yang akan digantikan oleh pemain lain dalam pertemuan penting di Stadium Darul Aman, Sabtu ini.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN