Selasa, 8 Julai 2025
UTAMASEMASA"Mengapa diperlakukan seperti binatang?", Dr Akmal kecam tindakan DBKL terhadap peniaga belon

“Mengapa diperlakukan seperti binatang?”, Dr Akmal kecam tindakan DBKL terhadap peniaga belon

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, menyelar tindakan agresif sekumpulan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap seorang peniaga belon yang sedang mencari rezeki menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau merujuk kepada rakaman video yang tular di media sosial, menunjukkan peniaga belon tersebut diperlakukan dengan kasar oleh beberapa anggota penguat kuasa DBKL. Dalam rakaman itu, kelihatan peniaga berkenaan ditolak dan digulingkan dalam usaha pihak berkuasa menangkapnya.

“Lepas subuh tadi saya baru nampak video ini. Saya nak tanya YB Menteri [Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa], adakah prosedur operasi standard (SOP) DBKL membenarkan peniaga diperlakukan sebegini? Salah berniaga jika tiada permit, tetapi kita sebagai manusia ada budi bicara. Tambahan pula, ini menjelang musim perayaan. Mengapa peniaga ini diperlakukan seperti binatang? Berat sangatkah kesalahan dia sehingga ditolak, diguling, dan dikerumuni ramai-ramai untuk ditangkap?” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Muhamad Akmal turut mempersoalkan tindakan keras yang diambil terhadap peniaga kecil, sedangkan menjual belon tanpa permit bukanlah kesalahan besar yang memerlukan kekerasan sedemikian.

Beliau menegaskan bahawa tindakan ini mencerminkan penyalahgunaan kuasa oleh pihak penguat kuasa terhadap golongan peniaga kecil yang hanya mencari nafkah untuk keluarga mereka.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pihak yang mengenali peniaga belon berkenaan untuk segera menghubunginya bagi membolehkan Pemuda UMNO mengambil tindakan undang-undang dan menuntut keadilan bagi peniaga tersebut.

“Kamu nak tunjuk kuasa, nak tunjuk hebat pada peniaga kecil? Tidak mengapa, kami akan bela hak mereka. Kami akan cari abang ini dan akan lawan kamu di mahkamah. Pemuda UMNO akan tuntut keadilan untuk abang belon,” tegasnya.

Setakat ini, pihak DBKL masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut. Rakaman video yang tersebar terus mengundang reaksi pelbagai pihak, dengan ramai yang mengecam tindakan keras yang dikenakan terhadap peniaga berkenaan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN