KUALA LUMPUR – Pemain sayap Manchester United, Amad Diallo tampil menjelaskan tindakannya menunjukkan isyarat jari tengah ke arah penyokong selepas kekalahan pasukannya kepada ASEAN All-Stars tempoh hari.
Menurut kenyataan di platform X, Diallo mendakwa beliau berdepan kecaman melampau, termasuk hinaan terhadap ibunya oleh seorang penyokong, menyebabkan dia bertindak secara spontan dengan isyarat tersebut.
“Saya menghormati semua orang, namun tidak kepada mereka yang menghina ibu saya.
“Saya sepatutnya tidak memberi reaksi sebegitu, namun saya tidak menyesal dengan apa yang saya lakukan,” katanya.
Bagaimanapun, pemain muda Ivory Coast itu tetap menyatakan rasa terima kasih atas layanan baik yang diterima sepanjang berada di Malaysia.
“Kami masih menikmati masa terbaik semasa berada di Malaysia bersama orang-orang baik,” tambahnya.
Tindakan Amad itu dirakam sejurus tamat perlawanan ketika berjalan menuju ke bas pasukan, dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat.
Ramai menyifatkan tindakan itu sebagai biadab dan tidak menghargai kehadiran ribuan penyokong Manchester United di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Perlawanan tersebut menyaksikan skuad Red Devils tewas 0-1 hasil jaringan Maung Maung Lwin, sekali gus mengecewakan lebih 70,000 penyokong setia mereka dari dalam dan luar negara.