KUALA LUMPUR – Pelakon Acha Septriasa, 35, berkongsi pengalaman berharga dalam filem Qodrat 2 dan mengakui peranan ini memberi banyak pengajaran mengenai sokongan isteri terhadap suami dan pentingnya menjaga keimanan dalam kehidupan keluarga.
Filem arahan Charles Gozali ini, Acha memegang watak Azizah, isteri kepada Ustaz Qodrat yang dilakonkan oleh Vino G. Bastian mengisahkan perjuangan pasangan suami isteri tersebut dalam melawan iblis Asu’ala demi melindungi anak mereka.
“Melalui watak ini, saya belajar untuk menjadi wanita yang lebih baik, mendukung suami dalam perjuangannya, serta mendekatkan diri kepada Allah,” ujar Acha selepas tayangan perdana di TGV Suria KLCC malam tadi.
Acha turut memberitahu bahawa filem ini memberi ruang untuknya memahami dan menghayati solat taubat dengan lebih kusyuk.
“Saya belajar banyak tentang beribadah dengan penuh khusyuk dan ikhlas, terutama dalam mendalami solat taubat, yang menjadi salah satu pengajaran utama yang saya peroleh daripada filem ini,” katanya.
Filem Qodrat 2 yang menggabungkan elemen aksi, seram, dan spiritual ini telah mencatatkan kejayaan besar di Indonesia dengan lebih dua juta penonton sebelum ditayangkan di Malaysia pada 17 April lalu.
Acha berharap filem ini dapat memberikan kesedaran kepada penonton tentang pentingnya mempertahankan nilai ketuhanan dan kekeluargaan dalam menghadapi cabaran hidup.
“Saya berharap filem ini memberi pengajaran yang mendalam dan menginspirasi penonton untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah dalam setiap aspek kehidupan,” tambah Acha.
Qodrat 2 kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.