SHAH ALAM – Kertas siasatan membabitkan seorang pelakon dan penyanyi terkenal yang disyaki melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun kini berada pada fasa akhir penyediaan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati suspek dan mangsa telah saling berkenalan selama satu hingga dua bulan sebelum mereka bertemu buat pertama kali di sebuah hotel di Selangor, tempat kejadian dipercayai berlaku.
“Suspek telah mempunyai hubungan dengan mangsa sebelum ini, tetapi insiden yang disiasat berlaku pada pertemuan pertama mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Menurut beliau, pelakon dan penyanyi itu telah ditahan untuk siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.
“Kertas siasatan hampir lengkap dan kita akan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” jelasnya
Terdahulu, MYBERITA melaporkan suspek ditahan pada Selasa lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), sebelum dibebaskan pada hari sama.
Kes itu mendapat perhatian ramai selepas identiti artis terbabit mula menjadi spekulasi dalam kalangan pengguna media sosial.