Khamis, 17 Julai 2025
UTAMASEMASAMinta RM50 untuk parkir, pengawal keselamatan ditahan polis

Minta RM50 untuk parkir, pengawal keselamatan ditahan polis

- Advertisement -

KAJANG – Seorang pengawal keselamatan wanita ditahan polis semalam selepas disyaki mengenakan caj parkir yang tidak sah serta mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap pengunjung di Hospital Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 31 tahun yang mendakwa ibunya telah diminta membayar RM50 oleh pengawal keselamatan tersebut sebagai caj parkir, pada 23 Disember tahun lalu kira-kira pukul 4 petang.

“Pengawal keselamatan terbabit dipercayai mengambil kesempatan dengan memeras wang daripada pengunjung hospital, khususnya mereka yang meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Selain itu, suspek turut mengeluarkan kata-kata ugutan yang tidak sopan terhadap pengadu semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek yang berusia 28 tahun kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan, dan turut disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Naazron turut menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian serupa agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Ghazali Zulkifli di talian 016-9140758.

Sementara itu, kejadian ini turut mendapat perhatian di media sosial selepas pengguna TikTok @allyszackry memuat naik video mendakwa ibunya menjadi mangsa caj parkir palsu oleh pengawal keselamatan yang sama. Beliau turut berkongsi bahawa ini merupakan kali kedua ibunya dikenakan caj sedemikian.

Sebelum ini, pempengaruh TikTok Iman Kamil juga memuat naik video menunjukkan pengawal keselamatan yang sama meminta bayaran RM10 atas alasan parkir di kawasan kakitangan, hingga mencetuskan pertengkaran mulut di lokasi kejadian.

Orang ramai diingatkan agar berwaspada dan melaporkan segera sebarang kegiatan mencurigakan kepada pihak berkuasa.

@allyszackry_ Alang2 ramai dah kena ni lah muka dia hati hati bila pergi hospital kajang , nama dia MANUSHA , target dia orang tua orang luar. alasan dia adalah parking staf dan untuk claim atau bayar dia duit rm50 kalau tidak clamp kete!! mak aku kene berderau darah..#pdrmmalaysia #hospitalkajang ♬ original sound – allyszulkeflee🕊️
Iklan
ARTIKEL BERKAITAN