SEREMBAN – Pantai, taman rekreasi, taman permainan kanak-kanak dan padang awam kini secara rasmi dilarang menjadi lokasi untuk minum minuman keras, demikian tegas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi menjaga ketenteraman awam dan menghormati sensitiviti masyarakat setempat, khususnya di kawasan yang menjadi tumpuan keluarga dan kanak-kanak.
“Kita tidak mahu kawasan yang sepatutnya menjadi ruang rekreasi dan keluarga dicemari dengan tingkah laku tidak bermoral,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri.
Aminuddin menjelaskan bahawa aktiviti minum arak di kawasan awam sering berlaku pada waktu malam, dan meninggalkan kesan seperti botol kosong dan kekotoran, sekali gus mengundang rungutan penduduk setempat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pihak berkuasa tempatan akan mengambil tindakan tegas serta-merta terhadap individu yang ingkar, termasuk kompaun sehingga RM2,000.
Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memelihara suasana harmoni dan bersih di lokasi tumpuan awam, serta memastikan kawasan rekreasi terus selamat dan selesa untuk semua lapisan masyarakat.