KUALA LUMPUR – Misi kayuhan sejauh 8,000 kilometer pelakon Amar Baharin dan Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin (Qobin) akhirnya sampai ke penghujung apabila mereka selamat tiba di Madinah, Arab Saudi sekitar jam 3 petang semalam (waktu tempatan), sekali gus menamatkan misi #JourneyToTanahHaram yang dimulakan sejak sebulan lalu.
Menurut Amar, 40, beliau tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja terlihat bumbung Masjid Nabawi dari jauh dan menyifatkan pengalaman itu sebagai antara paling berharga dalam hidupnya.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana Allah mempermudahkan perjalanan kami. Air mata bergenang sepanjang kayuhan masuk ke Madinah. Ini pengalaman yang tidak akan saya lupakan,” katanya kepada media.
Amar yang juga suami kepada aktres Amyra Rosli turut berkongsi bahawa antara cabaran terbesar sepanjang misi tersebut adalah perubahan cuaca ekstrem terutama di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.
“Cuaca sangat panas dan angin kuat, tetapi Allah SWT sentiasa hantar bantuan. Ramai rakyat Malaysia di sana bantu kami,” katanya.
Menariknya, misi yang bermula dari Padang Besar, Perlis pada 27 April lalu disempurnakan lebih awal daripada jangkaan iaitu sebelum Julai, meskipun terdapat perubahan laluan akibat penutupan sempadan di beberapa negara seperti India dan Pakistan atas faktor keselamatan.
“Walaupun tidak sepenuhnya dengan basikal, ada ketika kami perlu menaiki kapal terbang atau kenderaan darat tapi saya tetap bangga dengan pencapaian ini,” katanya.
Misi yang dirasmikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail itu telah merentasi empat negara iaitu Thailand, Iran, UAE dan Arab Saudi dalam tempoh 33 hari.
Amar turut berkongsi bahawa beliau dijangka pulang ke tanah air sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha minggu depan, dan berhasrat kembali semula ke Madinah bersama keluarganya untuk menunaikan ibadah umrah pada masa akan datang.