SUNGAI DUA – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kampus Persisir USM-KLE merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada semua mangsa yang terlibat dalam insiden nahas pesawat Air India baru-baru ini.
Ucapan itu disampaikan oleh wakil MPP USM-KLE, Muhammad Sharafee Ishak sebelum memulakan sesi perbahasan usul sempena Sidang Parlimen Mahasiswa Siri 2, Sidang Akademik 2024/2025 yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.
“Bagi pihak seluruh warga mahasiswa USM-KLE, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terkesan dengan tragedi menyayat hati ini. Semoga mereka tabah menghadapi ujian ini, dan roh mangsa yang terkorban dicucuri rahmat,” kata beliau dengan nada penuh empati.
Dalam sesi yang sama, Muhammad Sharafee turut membahaskan usul yang mencadangkan agar hubungan dua hala antara USM-KLE dan institusi berkaitan diperkasakan demi menjamin kebajikan, keselamatan dan pembangunan kerohanian mahasiswa secara holistik.
Usul tersebut mendapat perhatian dewan dan disifatkan sebagai satu langkah proaktif ke arah memperkukuh ekosistem sokongan kepada mahasiswa kampus luar negara, khususnya dari aspek kesejahteraan menyeluruh.