KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pempengaruh media sosial, Muhammad Muaz Mustaqim Rosman, 24, atau lebih dikenali sebagai Muaz J, tampil dengan lagu raya terbaharunya, Hey Raya, hasil kolaborasi bersama Syameer Azmi.
Menurut Muaz, proses rakaman lagu ini berlaku dalam masa yang sangat singkat, hanya dalam tempoh tiga hari sahaja.
“Sebenarnya lagu raya ni memang last minute gila. Kami dapat demo hanya tiga hari sebelum rakaman. Jadi, kami hanya sempat berlatih sekejap sebelum terus masuk studio. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya ketika ditemui MYBERITA baru-baru ini.
Berkongsi mengenai kerjasama dengan Syameer, Muaz menyatakan bahawa hubungan mereka yang sudah terjalin sejak zaman sekolah banyak membantu dalam menjayakan projek ini.
“Saya dengan Syamel memang dah lama kenal, dari kecil lagi. Jadi, chemistry antara kami memang kuat dan tak ada masalah untuk bekerjasama dalam lagu ini,” tambahnya.
Dalam pada itu, Muaz turut memberitahu bahawa dia kini bergerak bebas selepas kontraknya dengan label lama tamat. Ketika ini, beliau aktif menjalankan pelbagai projek denganlabel lain, termasuk CATS Studio.
“Saya sekarang lebih fleksibel dalam berkarya. Selain menyanyi, saya juga aktif sebagai pencipta kandungan dan influencer. Kalau ada tawaran berlakon yang menarik, saya akan pertimbangkan,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai kehidupan peribadinya, Muaz secara berseloroh mengakui masih mencari pasangan hidup, namun sering berdepan dengan cabaran.
“Saya dah buat live selama tiga tahun setengah untuk berinteraksi dengan peminat, tapi masih tak jumpa calon yang sesuai. Kadang-kadang ada yang ragu-ragu nak percaya saya masih single,” katanya berseloroh.
Muaz turut berkongsi ciri-ciri pasangan idamannya yang ringkas, tetapi masih sukar untuk ditemui.
“Saya tak cerewet. Cukuplah kalau dia lebih rendah daripada saya, boleh menerima diri saya seadanya dan pandai memasak,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Muaz memaklumkan bahawa dia akan muncul dengan single terbaru di bawah CATS Studio dan meminta peminat untuk terus menyokong perjalanan seninya.
“Jangan lupa follow CATS Studio untuk perkembangan terbaru!” ujarnya.