PETALING JAYA – Parti MUDA akan mengadakan satu mesyuarat penting malam ini bagi membincangkan kedudukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam parti, susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membebaskan beliau daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz, dalam satu sidang media.
“Keluarga MUDA akan mengadakan mesyuarat penting malam ini untuk membincangkan perjalanan ke hadapan parti dan kedudukan Syed Saddiq dalam parti.
“Apa-apa akan kami kongsikan nanti dalam masa terdekat,” katanya ringkas.
MYBERITA sebelum ini melaporkan Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar dikenakan hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Namun, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada empat pertuduhan jenayah membabitkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.
Antaranya dana sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).