- Advertisement -
 |
Program anjuran Pemuda Gema dengan kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) PUO ini bertujuan mengurangkan pembaziran makanan di bazar Ramadan selain membantu pelajar yang memerlukan dengan menyediakan makanan berbuka secara percuma. (Foto PUO) |
IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan kesedaran mengenai pembaziran makanan di bazar Ramadan menerusi program My Save Food @ Bazar Ramadan PUO yang berlangsung dari 4 hingga 6 Mac lepas.
Program anjuran Pemuda Gema dengan kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) PUO ini bertujuan mengurangkan pembaziran makanan di bazar Ramadan, membantu pelajar yang memerlukan dengan menyediakan makanan berbuka secara percuma serta memupuk amalan pengurusan makanan yang lebih berhemah dalam kalangan peniaga dan masyarakat.
Menurut Yang Dipertua JPP PUO, Muhd Bazli, program ini bukan sahaja membantu pelajar yang kurang berkemampuan, malah turut memberi kesedaran kepada peniaga tentang kepentingan pengurusan makanan dan kebersihan bazar.
“Saya melihat kegembiraan di wajah pelajar yang menerima makanan hasil program ini. Ia bukan sekadar mengurangkan pembaziran, malah membentuk sikap lebih prihatin dalam kalangan peniaga dan masyarakat sekitar,” katanya.
Melalui inisiatif ini, makanan dan minuman yang tidak habis dijual di bazar Ramadan dikumpulkan dalam dua sesi, iaitu pada pukul 7.15 malam dan 7.35 malam, sebelum disalurkan kepada pelajar yang memerlukan khususnya dalam kalangan pelajar asnaf.
 |
JPP PUO menyampaikan sijil penghargaan kepada Pemuda Gema atas kerjasama dalam menjayakan program ini dan berharap program ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan matlamat mengurangkan pembaziran makanan dan membantu golongan yang memerlukan terus dicapai.
|
“Pada hari pertama program, sebanyak 8.34 kg makanan dan 8.6 kg minuman berjaya dikumpulkan dan diagihkan kepada pelajar yang kurang berkemampuan.”
“Menariknya, pada hari kedua, jumlah lebihan makanan berkurangan kepada 2.53 kg makanan dan 3.1 kg minuman, menunjukkan peningkatan kesedaran dalam kalangan peniaga terhadap kepentingan mengurangkan pembaziran.”
Selain membantu pelajar, program ini turut memberi kesedaran mengenai kepentingan kebersihan dan pengurusan sisa makanan bagi mewujudkan persekitaran yang lebih lestari.
“PUO berharap inisiatif ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membentuk masyarakat yang lebih prihatin terhadap isu pembaziran makanan.”
Iklan