Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMASEMASATragedi UPSI: Bas persiaran rempuh Alza sebelum terbalik

Tragedi UPSI: Bas persiaran rempuh Alza sebelum terbalik

- Advertisement -

GERIK – Siasatan awal pihak polis mendapati bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan tragis hingga mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) malam tadi, dipercayai telah melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Perodua Alza sebelum hilang kawalan.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin memaklumkan bahawa kejadian berlaku di lokasi yang berbahaya di Lebuh Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik, yang dikenal pasti sebagai kawasan berliku, menurun serta kurang pencahayaan.

“Keadaan geografi dan pencahayaan yang terhad di kawasan tersebut mengundang pelbagai kemungkinan sebagai punca kemalangan,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ipoh sebentar tadi.

Beliau turut menjelaskan, siasatan kini sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada kemalangan berpunca daripada kecuaian manusia atau masalah teknikal pada kenderaan.

Menurutnya lagi, ketika kejadian, bas berkenaan membawa seramai 42 penumpang termasuk seorang pemandu dan kelindan. Semua mangsa merupakan pelajar UPSI yang berasal dari Pantai Timur dan berusia antara 21 hingga 23 tahun.

“Bas yang berdaftar di Kedah itu bertolak dari Jerteh, Terengganu pada pukul 9 malam tadi. Proses bedah siasat dijangka mengambil masa yang agak lama memandangkan jumlah mangsa yang terlibat adalah ramai,” ujarnya.

Insiden tersebut menggemparkan negara dan turut mendapat perhatian orang ramai yang menggesa pihak berkuasa mempertingkatkan tahap keselamatan perjalanan terutama bagi kenderaan membawa penumpang jarak jauh.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN