Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMANASIONALTragedi UPSI: Polis nafi spekulasi bas dipandu laju

Tragedi UPSI: Polis nafi spekulasi bas dipandu laju

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Polis menafikan dakwaan tular di media sosial yang menyatakan bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan tragis sehingga meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Lebuh Raya Timur-Barat, berhampiran Tasik Banding, dipandu laju.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin menegaskan bahawa setakat ini, dakwaan tersebut belum dapat disahkan dan siasatan masih dijalankan secara menyeluruh.

“Itu hanya spekulasi. Siasatan masih berjalan dan kita akan mendapatkan laporan lengkap daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk membantu siasatan,” katanya kepada media hari ini.

Dalam kejadian menyayat hati itu, bas persiaran yang membawa pelajar UPSI dikatakan bertembung dengan sebuah kenderaan Perodua Alza, menyebabkan jumlah korban yang tinggi.

Tambah beliau, pemandu bas mengalami kecederaan pada tangan, manakala penumpang Perodua Alza yang terdiri daripada pasangan suami isteri dan dua anak mereka berusia tiga dan enam tahun turut cedera dan kini sedang dirawat di Hospital Baling, Kedah.

Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan serta menambah kesedihan kepada keluarga mangsa.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN