KLUANG – Tiga individu dipercayai maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 58.1, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, lewat malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.48 malam itu, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stepwagon dan sebuah treler dilaporkan terbakar, manakala beberapa mangsa lain mengalami kecederaan. Tiga individu dilaporkan selamat.
Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Nizar Mamun, mengesahkan kejadian itu, namun butiran lanjut masih dalam siasatan.
Menurutnya, seramai 13 anggota dari BBP Renggam dan Kulai bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan mendapati kemalangan membabitkan lima kenderaan iaitu MPV Honda Stepwagon, treler, Toyota Camry, dan Proton X50,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, maklumat awal menunjukkan tiga mangsa dalam Toyota Camry selamat, sementara seorang lelaki dan seorang wanita dalam Proton X50 mengalami kecederaan.
“Seorang lelaki yang menaiki treler turut mengalami kecederaan. MPV Honda Stepwagon pula membawa seorang lelaki, empat wanita, serta dua kanak-kanak, masing-masing seorang lelaki dan seorang perempuan. Keadaan mereka masih dalam siasatan,” tambahnya.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas.