- Advertisement -
.png) |
Foto Ihsan JBPM Sarawak |
BINTULU – Tiga individu maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan sebuah lori tiga tan di Jalan Pesisir Pantai-Samalaju, kira-kira 29 kilometer dari sini, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa yang terkorban ialah Nur Azalea Zakiah Jiben, 44; Ariana Juana Helda, 22; dan Simon Hiu, 39. Ketiga-tiga mereka menaiki Perodua Alza ketika kejadian berlaku.
“Dua lagi penumpang Perodua Alza, Roslan Langga, 52, dan Ningkan Chalana, 50, mengalami kecederaan parah, manakala pemandu lori, Hessmans Rawing Judin, 41, patah kaki. Dua kelindan lori turut cedera ringan,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong dan BBP Samalaju segera dikerahkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.51 pagi.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati beberapa mangsa masih terperangkap dalam kenderaan mereka. Usaha mengeluarkan mangsa dilakukan menggunakan peralatan khas sebelum mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Operasi menyelamat tamat pada pukul 8.18 pagi. Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati di jalan raya, terutama di kawasan berisiko tinggi, bagi mengelakkan kejadian tragis seperti ini berulang.
Iklan