PUTRAJAYA – Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel memaklumkan bahawa keadaan dirinya berada dalam keadaan baik dan memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada kesejahteraan diri ketika ini.
Dalam satu kenyataan kepada MYBERITA, Naim berkata tumpuannya kini hanyalah untuk menjaga keadaan fizikal dan mentalnya, susulan pertuduhan yang sedang dihadapinya di Mahkamah.
“Alhamdulillah, Naim sihat.
“Naim sekarang hanya fokus kepada Naim punya wellbeing sahaja, itu saja dulu.
“Naim tak ada melatah ke apa. Tapi buat masa ini, fokus kepada perkara ini saja dulu,” katanya.
Kenyataan itu disampaikan tidak lama selepas prosiding yang berlangsung awal pagi tadi, di mana beliau mengaku tidak bersalah.
Terdahulu, MYBERITA melaporkan selebriti berkenaan ditahan pihak polis pada 3 Jun lalu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor.
Bagaimanapun, suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil oleh pihak berkuasa.