Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMATERKININaim Daniel tiba di mahkamah, didakwa hadapi tuduhan kes seksual melibatkan remaja...

Naim Daniel tiba di mahkamah, didakwa hadapi tuduhan kes seksual melibatkan remaja perempuan

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Penyanyi dan pelakon terkenal tanah air, Naim Daniel, hari ini hadir di Mahkamah Sesyen di sini dipercayai bagi menghadapi pertuduhan berkaitan kes seksual membabitkan seorang remaja perempuan.

Naim, 28, yang terkenal menerusi lagu Sumpah dan Purnama, tiba di mahkamah pada pukul 8.34 pagi dengan mengenakan kot hitam, ditemani ibu serta peguamnya. Beliau kelihatan tenang dan sempat menyapa para pengamal media yang membuat liputan di perkarangan mahkamah.

“Assalammualaikum…,” katanya ringkas sambil melangkah masuk ke bangunan mahkamah.

Terdahulu, pada 3 Jun lalu, MYBERITA melaporkan selebriti itu disiasat pihak polis susulan laporan yang dibuat oleh ibu kepada mangsa remaja perempuan. Menurut laporan, remaja tersebut mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual selepas mengenali suspek di sebuah kafe tempat dia bekerja.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan bahawa selebriti berkenaan akan dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, kejadian didakwa berlaku di sebuah hotel di sekitar Petaling Jaya selepas suspek mengajak mangsa berjumpa.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan lanjut dikeluarkan oleh pihak Naim Daniel mahupun pasukan pembelanya berhubung pertuduhan tersebut. Prosiding dijangka bermula dalam masa terdekat.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN