Jumaat, 11 Julai 2025
UTAMANASIONALNajib Razak dilepas tanpa dibebaskan tiga pertuduhan pengubahan wang haram RM27 juta

Najib Razak dilepas tanpa dibebaskan tiga pertuduhan pengubahan wang haram RM27 juta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana RM27 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim K. Muniandy selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan yang diketuai peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang berhujah bahawa DNAA adalah langkah terbaik buat masa ini memandangkan tempoh masa tidak menentu bagi perbicaraan penuh kes berkenaan.

“Pertuduhan ini sudah berlarutan sejak tahun 2019 dan mengambil masa hampir enam tahun, manakala representasi kepada pihak pendakwaan telah dikemukakan sejak 31 Julai 2023,” kata Shafee dalam prosiding mahkamah.

Najib, 72, sebelum ini didakwa pada 3 Februari 2019 atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil aktiviti haram ke dalam tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda hingga RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International. Mahkamah Tinggi ketika itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, yang kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Beliau kemudian memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022. Hasil keputusan Lembaga Pengampunan, hukuman penjara dikurangkan kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta.

Dengan keputusan DNAA hari ini, Najib masih boleh didakwa semula sekiranya pendakwaan memutuskan untuk meneruskan kes itu pada masa hadapan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN